
Kelab Bola Sepak JEPS Soccer diperkenalkan pada tahun 2020 di SK Jalan Empat Bandar Baru Bangi. Tujuan penubuhan kelab ini adalah untuk mewujudkan satu ekosistem pembangunan bola sepak akar umbi yang sistematik dan sekaligus dapat melahirkan bakat-bakat muda yang berkualiti dan konsisten untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi dalam membantu sukan bola sepak negara melahirkan pemain bertaraf dunia. Ia juga dapat menjadikan SK Jalan Empat sebuah sekolah yang mampu melahirkan lebih ramai bakat yang berkualiti dalam sukan bola sepak.
Kelab JEPS Soccer ini diuruskan oleh syarikat Mutiara Serdang Sdn Bhd. Pihak pengurusan kelab berbesar hati untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memastikan semua ahli kelab menjaga nama baik sekolah dan berusaha untuk menjadikan SK Jalan Empat sebagai salah sebuah sekolah yang berjaya melahirkan pelajar yang mempunyai potensi yang menyeluruh dan seimbang dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Pihak pengurusan kelab memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kelab berfungsi dengan baik dan mencapai matlamat yang ditetapkan.
Berikut adalah beberapa peranan utama pengurusan kelab bola sepak JEPS Soccer termasuk tetapi tidak terhad kepada :

1. Pengurusan dan Pentadbiran
- Mengurus hal ehwal harian kelab, termasuk pengaturan latihan, perlawanan, dan aktiviti lain.
- Menyediakan bajet dan mengurus kewangan kelab.
2. Pengambilan Ahli
- Mengendalikan proses pendaftaran dan pengurusan keahlian.
3. Hubungan dengan Komuniti
- Mempromosikan aktiviti, kejayaan dan pencapaian kelab di media sosial serta secara terbuka di kalangan komuniti setempat.
4. Penyelesaian Masalah
- Menangani sebarang isu yang timbul dalam kelab, sama ada berkaitan dengan pemain, jurulatih, atau penyokong.
- Menyediakan penyelesaian yang konstruktif untuk memastikan kelab terus berfungsi dengan baik.
5. Menggalakkan Kerjasama
- Mewujudkan suasana kerja berpasukan yang positif dan menggalakkan kerjasama antara pemain, jurulatih dan pengurusan kelab.
6. Pemasaran dan Penajaan
- Mencari peluang penajaan dan kerjasama dengan pihak luar untuk mendapatkan sokongan kewangan.
- Menggalakkan penglibatan penyokong dan meningkatkan kehadiran dalam perlawanan.
Dalam pembangunan bola sepak akar umbi, tidak dapat dinafikan bahawa jurulatih memainkan peranan penting yang menyumbang kepada kejayaan pasukan dan pembangunan pemain. Jurulatih berperanan sebagai pemimpin, guru, dan mentor yang membantu membentuk bukan sahaja pemain yang baik, tetapi juga individu yang bertanggungjawab dan beretika. Pihak pengurusan kelab akan terus komited dan bekerjasama dengan barisan jurulatih JEPS Soccer dalam menggilap dan menyerlahkan bakat anak-anak dalam arena bola sepak serta membantu mencorakkan watak dan nilai dalam diri setiap pemain.
